Dah hampir 9 bulan aku tinggal di rumah mertua. Rumah kecilku di pinggir bandar tu sudah lama ku tinggalkan. Rindu betul rumah lama saiz setingkat itu.
Walaupun rumah itu hanya lah rumah kecil dan merupakan rumah sewa milik bapa mertua (kami bayar sewa lah), aku dan suami sangat selesa dan seronok tinggal di sana. Ia terletak di kejiranan Melayu, jadi perasaan selamat juga ada. Aku bernasib baik kerana mempunyai jiran-jiran yang ramah dan baik.
Di rumah itulah aku mula belajar memasak sendiri, belajar berhias untuk suami (haha, sebelum kahwin memang tak suka berbedak pun), dan juga buat kerja-kerja secara online. Aku juga menguruskan fail-fail berkenaan perbelanjaan rumahtangga, insurans, manuskrip suami dan macam-macam lagi. Memang kat situ aku dah bangunkan sistem penyimpanan fail yang teratur di ruang tamu rumah kami.
Tapi sejak beranak 9 bulan lalu, semuanya dah kelam-kabut. Aku dah tak ada motivasi nak teruskan kegiatan-kegiatan lalu kerana sibuk menguruskan kembar dan juga persekitaran baru yang perlu aku biasakan. Semua surat dan dokumen sudah tak terurus, main campur je dalam sampul.
Aku fikir sudah tiba masanya untuk kembali pada kehidupan lalu dan meneruskannya bersama anak-anak bujangku. Tentu lebih sibuk aku nanti tapi aku fikir aku boleh uruskannya semua secara perlahan-lahan.
Blog suami sudah semakin maju, kami juga mempunyai beberapa pelanggan yang menyewa tapak iklan dan mendapatkan servis advertorial dari kami. Agak lumayan juga bisnes ini jika dilakukan secara bersungguh-sungguh. Jadi perlu jaga pelanggan dengan baik agar mereka kekal lama dengan kami.
Aku perlukan persekitaran baru untuk fokus dalam menguruskan kerja-kerja pentadbiran dan menyimpan rekod. Insya Allah dalam beberapa minggu lagi kami akan pulang dan tinggal di rumah kecil kami.
Aku telah fikirkan untuk buat kerja di meja ruang tamu. Anak-anak akan aku biarkan bermain di depan TV, di mana aku boleh pantau dari meja tulis ku. Berikut plan jadual aku:
Pagi
- mandi semasa anak-anak tido
- kejut salah seorang anak untuk mandi
- sebelum tghari, kejut seorang lagi anak mandi
- buat kerja
Tghari
- rehat / makan / main dgn anak2
Petang
- sambung kerja
- Mandikan seorang ketika seorang lagi tidur, atau kejutkan seorang jika kedua2nya tidur
- Mandikan yang kedua
- sediakan bahan-bahan untuk memasak
Malam
- masak
- tengok tv dengan anak2
Insya allah aku boleh jaga mereka sendiri sambil meneruskan aktiviti kerja aku seperti sebelum bersalin dulu. Amin.