Rupanya segala perubahan besar dan mendadak yang ku alami seperti yang ku ceritakan di
catatan sebelum ini, merupakan petanda yang aku bakal melahirkan anak-anakku. Entri tersebut ditulis pada sehari sebelum kejadian, iaitu 3 Februari 2012.
Pada malamnya aku mengalami kesakitan seluruh badan yang amat sangat. Suami juga perasan kembar sangat aktif pada malam itu dan menendang perutku dengan kuatnya.
"Baby dah tak sabar nak keluar.." Dia berkata sambil menggosok perutku dan tersenyum. Tentulah suami pun tidak menjangka apa yang dikatakannya akan berlaku beberapa jam kemudian.
Perut yang sangat besar menyebabkan aku sukar mencari posisi terbaik untuk tidur dan akhirnya terpaksa tidur bersandar di kepala katil. Hanya beberapa ketika ku mampu lelap mata dengan aman. Namun kerap tersedar dan mengadu pada suami betapa sakitnya badanku. Suami mengurut badanku hingga aku dapat tidur semula.
Aku tersedar lagi ketika imam di masjid berdekatan mengalunkan bacaan Al-Quran. Terasa si kembar menendang-nendang perutku dengan kuat hingga bahagian perut dan pinggang aku bergerak. Jam ketika itu menunjukkan pukul 5.30 pagi. Belum lagi Subuh. Aku menggerakkan kaki dengan payah untuk turun dari katil.
Kemudian semuanya berlaku dengan begitu sahaja.
Terasa seperti simbahan air keluar dan membasahi baju tidurku. Makin lama makin banyak sehingga habis katil basah lencun dengan air tersebut. Aku mengejutkan suami. Agak panik kerana aku sendiri tidak tahu apa yang berlaku padaku.
"Eh, agaknya air ketuban dah keluar tak?" Suami mula bangkit dan membuka lampu. Memang habis katil tempatku duduk dilimpahi air. Dan air masih lagi keluar dengan banyaknya.
Aku tidak merasa apa-apa kesakitan, sekadar panik dan tidak tahu apa yang perlu ku lakukan. Suami pergi mencuci muka dan datang semula.
"Kita kena pergi hospital cepat, ini tanda tak bagus."
"Hani akan beranak ker?"
"Kita pergi check di hospital dulu. Harap2 doktor boleh bagi ubat untuk hold delivery"
Aku minta masa bagi membolehkan diriku bertenang dahulu. Aku hendak baring dan cuba berfikir apa akan berlaku padaku nanti. Beberapa minit kemudian perutku kejang.
"Abang, rasa cramp dalam perut macam sakit senggugut",
"Eh tu contraction tu. Bangun cepat, kita kena pergi hospital sekarang"
Aku bangun dan berjalan perlahan-lahan ke bilik air, membawa bersama limpahan air ke lantai. Sesekali contraction berlaku. Selepas mandi aku minta izin suami untuk makan dahulu kerana perutku sangat lapar.
"Ok, cepat sikit." Riak mukanya seperti tidak bersetuju, namun memberi izin kerana mungkin kasihan padaku.
Ku kemas sedikit barang untuk dibawa sekiranya terpaksa ditahan di hospital. Sebelum ini aku merancang untuk menyiapkan 'hospital bag' pada minggu hadapan. Nampaknya aku terpaksa mengemas sekarang juga dengan mengambil apa sahaja yang dirasakan perlu: beberapa helai baju, kain sarung, toiletries, satu pek pad dan dua buah buku panduan maternity.
Tepat jam 7 pagi kami keluar dari rumah. Nasib baik hari itu hari Sabtu, tidak banyak kereta yang ada di sepanjang jalan. Tidak dapat ku bayangkan jika ia berlaku pada pagi hari bekerja, dengan kesesakan orang ramai. Dengan segala contraction yang sedang ku alami, tidak mustahil aku mungkin beranak di dalam kereta!
Aku terlupa memakai jam namun aku fikir kami tiba di JSH kira-kira setengah jam kemudian. Tanpa berlengah jaga pintu masuk itu menolak kerusi rodaku ke wad bersalin tanpa menunggu suamiku yang sedang mencari parking kereta.
Tak sampai 5 minit aku sudah berada di kaunter untuk urusan pendaftaran masuk. Aku menyerahkan kad hospital dan terus ditolak masuk ke sebuah bilik. Di situ aku ditukarkan pakaian dan diarah berbaring untuk CTG scan. Aku cuba bertenang dengan berselawat tidak putus-putus.
Tidak lama kemudian suami sampai dengan beg hospitalku. Dia nampak tenang walaupun aku tahu dia cemas.
Berdasarkan CTG, kontraksi berlaku setiap 6 minit. Dan setiap 6 minit itu jugalah perutku mengejang dengan kuatnya. Sangat sakit. Setiap kali ia reda aku menyambung selawat agar dipermudahkan dan ditenangkan hati.
Denyutan jantung baby juga diperiksa. Sejenis alat dilalukan di sekitar perut aku dan mengeluarkan bunyi seperti air yang berkocak-kocak. Menurut jururawat tersebut, jantung kedua-dua baby dlm keadaan baik dan mereka bergerak dengan sangat aktif.
Tidak lama kemudian Dr Mohan tiba. Dia memberitahu akan memeriksa bukaan uterus. Sangat sakit hanya Tuhan sajalah yang tahu. Kakiku menggigil-gigil menahan sakit dan mula menangis.
Menurutnya uterus dah terbuka sebanyak 2cm. Aku ketika itu tidak faham apa yang dimaksudkan dengan 'sudah terbuka'.
"Saya kena beranak hari ni kah?"
"Most probably, yes" Dr Mohan memanggil suamiku untuk berbincang. Dia mencadangkan agar aku dipindahkan ke hospital kerajaan kerana usia kandunganku masih terlalu awal untuk melahirkan. Aku sepatutnya menjalani c-sect pada hujung bulan Mac di sini, iaitu kira-kira 2 bulan lagi.
Sangat takut. Aku memanggil suami.
"Abang, hani takut.. abang salahkan hani ker?" aku menangis. Rasa takut, cemas, keliru dan sakit bercampur-campur.
"Taklah, anggaplah ini sebagai takdir" Suami memegang tanganku. Aku menarik dan meletakkan tangannya di atas dahi aku.
"Tolong maafkan hani.." Ingin sekali aku ucapkan 'halalkanlah makan minum saya selama ini' namun aku fikir ia ucapan yang sangat menakutkan, seolah-olah aku tidak akan berjumpa suami lagi. Cukuplah aku dapat membaca raut wajah suami sebagai ganti dia telah meredhaiku..
***********
Aku dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan menaiki van ambulan. Pemandu pula bawa van seperti hendak racing saja. Badanku bergoyang-goyang mengikut rentak van tersebut. Katil pula muat-muat untuk letak badanku saja. Rasa macam nak terjatuh ke tepi, depan dan belakang. Aku mengadu supaya diperlahankan sedikit kerana takut jatuh dan kesakitan. Budak muda yang memandu itu pun memperlahankan sedikit tapi van masih lagi 'terlompat-lompat' dan bergegar dengan kuat.
Tiba di HSA, aku ditolak ke bilik saringan. Di situ ada beberapa orang nurse dan seorang houseman (doktor pelatih) serta ada lagi dua orang wanita mengandung yang terbaring di katil. Pelbagai soalan yang ditanya tapi soalannya sama berulang-ulang oleh orang yang berlainan (beberapa orang nurse, houseman dan doktor pakar). Aku fikir aku mengulang-jawab soalan kepada lebih dari lima orang. Sedikit bengang kerana aku sedang menahan sakit akibat contraction dan orang berlainan datang bertalu-talu bertanya soalan-soalan yang sama.
(nota: aku menceritakan pengalaman sahaja. tiada maksud untuk mengkritik mana2 pihak. Aku faham semua adalah prosedur biasa yang perlu dilakukan)
Seperti di JSH, ujian CTG dilakukan ke atas ku. Bunyi 'kocakan air' itu lebih kuat kali ini. Sekali lagi 'ujian seluk' dilakukan, oleh seorang houseman. Bukaan kini 3cm.
Kemudian katilku ditolak ke wad sebelah, di situ aku disalinkan pakaian hospital. Ujian seluk dilakukan sekali lagi, kali ini oleh pakar bedah, Dr R. Walaupun telah disuruh menahan nafas, namun aku tidak mampu fokus lalu menjerit-jerit kesakitan dan meminta dipanggilkan suamiku.
Dalam kesakitan aku terdengar Dr R memberitahu rahim sudah terbuka 5cm.
"It's breech! Cant delay anymore, prepare the OT!" Rupanya kaki baby sudah keluar di pintu rahim!
Suami datang untuk menenangkanku. Nampak sahaja suami tangisanku menjadi semakin kuat. Aku mengadu sakit dan takut. Suami pegang tangan dan memeluk aku. Sekejap sahaja dan dia terpaksa pergi. Air mata aku bercucuran melepaskan suami.
Keadaan agak kelam kabut. Aku dipasangkan drip, tiub kencing (seriau!) dan mungkin ada suntikan diberikan (aku tidak ingat kerana panik).
Semua orang seperti 'tidak mempedulikan' tangisanku kerana mereka perlu buat persediaan untuk pembedahan kecemasan dan menyambut dua bayi sekaligus.
Tiba-tiba ku rasa seperti hendak buang air besar.
"Saya rasa nak berak!" tanpa segan silu aku menjerit di tengah-tengah kekalutan itu.
"Eh, jangan teran puan. Tahan!"
Aku cuba bangun dan minta dibawa ke tandas dahulu, tapi mereka menegah kerana menurut mereka itu tanda nak melahirkan, bukan tanda nak buang air besar. Aku tarik nafas dan cuba bertahan.
Doktor Q pula dtg, katanya dia yang akan buat operation. Dia sendiri yg menolak katil aku sambil berlari ke operation room. Nurse dan houseman lain mengejar dari belakang. Habis semua orang bertempiaran lari memberikan laluan.
Ini kali kedua aku di'racing' selepas ambulan JSH tadi.
************
Di OT aku diberi suntikan di tulang belakang untuk bius separuh badan. Kemudian aku dibaringkan di katil yang berpalang tinggi di bahagian atas. Rupanya palang itu untuk meletakkan kain supaya aku tidak melihat pembedahan dijalankan.
Aku menggigil kesejukan. Seorang houseman menghalakan warmer melalui kain yang melindungi bahagian atas badanku. Namun ia seperti tidak memberi apa-apa kesan padaku. Bahagian atas badanku menggigil dengan hebat.
“Tahan puan, OT memang kena sejuk”, kata Dr Q, bahagian bawah badanku menggeletar juga barangkali.
Walaupun kebas dan tidak merasa sakit, namun aku boleh rasa perut aku ditoreh, diseluk, ditekan dan ditolak ke kiri kanan untuk membolehkan baby dikeluarkan.
Terdengar satu tangisan halus. Oh, itu suara anakku agaknya. Aku pejam mata dan merasa syukur dpt mendengarnya buat pertama kali.
Aku hampir terlena apabila badanku bergoncang dengan kuat. Kurasakan bahagian atas perut aku sedang dihenyak-henyak dengan kuatnya.
"Sorry puan, kita kena tekan kuat sikit sebab satu baby lagi jauh kat dalam." Dr Q menjelaskan selepas terdengar aku menjerit ketakutan.
Beberapa minit kemudian terdengar tangisan halus yang kedua. Alhamdulillah.
Aku pejam mata dan terlelap kembali.
Tiba-tiba kain yang menyelubung palang itu dibuka.
"Puan, tengok baby puan, tengok jantinanya. Kita tak boleh lama sbb baby masih lemah"
Aku dapat melihatnya beberapa saat saja. Namun aku pasti walaupun sangat kecil, bayi aku cukup sifat dan sempurna. Bayi pertama adalah lelaki.
Kemudian ditunjukkan pula bayi yang kedua. Terkejut seketika kerana aku menyangkakan bayi kedua adalah perempuan. Rupanya lelaki juga!
Selepas aku memberi pengesahan akan jantina mereka, nurse terus bergegas membawa anak-anakku pergi.
Penat dan mengantuk.
Walaupun aku tidak berpeluang untuk memeluk cium anak-anak, namun dapat mendengar mereka menangis dan melihat mereka beberapa saat sudah cukup buat aku lega dan bersyukur.
Anak-anakku sudah selamat dilahirkan ke dunia ini.
Terima kasih Allah!