Jadi 'shopping list' memang tak ada. Niat asal adalah untuk hadiri seminar percuma, kutip free goodies dan melihat demo cara menggunakan barang2 seperti stroller, breastpump dan sebagainyalah.
Ini adalah rancangan asal kami:
- JUMAAT: petang bertolak ke KL, dan tiba pada waktu malam
- SABTU: tengahari bertolak dari hotel untuk ke Mid Valley, dengan kereta juga
- menghadiri seminar bermula 2.30ptg - 7.30mlm (ada break in between)
- melihat pameran dan membeli brg yg dirasakan sangat tinggi diskaunnya.
- AHAD: pergi ke rumah kakak atau abgku di KL sebelum bertolak balik ke JB pada selewat-lewatnya 3-00ptg
Tapi ia tidak terjadi seperti yang dirancangkan. Pada hari Jumaat suamiku penat dan mahu berehat dahulu di rumah setelah banyak bekerja malam dalam minggu itu. Jadi aku akur. Masa tu aku dah mula rasa ragu2 nak teruskan plan ke Mid Valley atau tidak. Kerana aku dapat rasakan, jika kami bertolak pada pagi Sabtu, kami tentu akan penat untuk menghadiri seminar2 yang ada. Tekanan juga mungkin tinggi kerana kami cuba mengejar masa dalam satu hari tanpa rehat yang mencukupi.
Namun aku cuba bersikap positif, suami juga berkata jika tidak sempat untuk ke seminar, maka kami akan ke pameran sahaja.
Jadi pada Jumaat itu aku biarkan suami berehat. Kami makan bersama di rumah, solat berjemaah dan pergi ke pasar malam bersama2. Memang seronok memandangkan suami agak sibuk orangnya untuk berlibur begitu.
Esoknya (Sabtu), kami keluar dari rumah tepat pada 7.00pagi. Hari masih pagi dan perjalanan ditempuhi dengan tenang dan gembira. GPS juga membantu perjalanan kami setelah memasuki KL. Kami berjaya tiba di hotel di Brickfields menjelang 11pagi.
Kami berehat dahulu dan merancang keluar ke Mid Valley pada 12tghari.
Namun hanya pada pukul 2.00pm kami keluar. Sebabnya kami terlajak tidur. Suami ada mencadangkan agar naik teksi sahaja. Tapi aku pula risau jika susah ambil teksi pada waktu tengahari begini. Jadi dia beralah.
Keluar sahaja, rupanya kereta suamiku sudah disaman. Dia hanya membayar parking setakat 12tghari sahaja rupanya. Jadi kenalah kami.
Kemudian satu demi satu perkara tidak enak berlaku. GPS kali ini sangat mengelirukan kami. Malah kami berpusing-pusing di jalan sama sebanyak 3 kali. Suami sudah mula tertekan. Dan kesal kerana kami tidak mengambil public transport sahaja. Aku agak tertekan juga dan merasa bersalah meletakkan suami dalam keadaan begitu.
Setelah hampir 20 minit dalam keadaan genting itu, barulah kami jumpa jalan ke Mid Valley. Malangnya hendak ke zon parking pula jalan sangat sesak. Cuaca pula sangat panas dan keadaan yang stress membuatkan aircond langsung tidak terasa. Enjin kereta suami juga kerap mati. Muka suami sudah merah padam.
Kami khuatir jika menunggu lebih lama dalam kesesakan itu, kereta akan mati terus di tengah jalan. Drpd menanggung risiko yang lebih banyak, kami keluar dari jalan itu dan berpatah balik ke hotel.
Sampai di hotel, aku naik ke bilik untuk ke tandas. Sementara suami ku 'mengambil angin' dan makan di warung berdekatan. Ketika turun mendapatkan suami di warung di situ, aku rasa lega kerana angin suami sudah mula baik dan dia tidak lagi bercakap tentang hal tidak enak tadi.
Setelah berbincang, kami bercadang keluar semula pada petangnya, dengan menaiki komuter sahaja. Aku sebenarnya sedikit gusar, kerana perjalanan menggunakan public transport memang memaksa kami berjalan dengan agak banyak. Tapi sekali lagi aku cuba positif, mungkin ia tidak seteruk yang disangka.
Jadi pada 6 ptg, kami keluar dari hotel dan berjalan kaki ke KL Sentral. Hanya 10 minit sahaja dari hotel. Suami juga positif dengan mengatakan petang2 begini memang elok bersenam. Dia memang berusaha menceriakan diriku yang risau ini.
Seterusnya lawatan kami ke situ sangat berjalan lancar. Seminar semua telah habis jadi kami berjalan2 sahaja di sekitar pameran. Aku ada dapat sedikit pengetahuan mengenai breast pump dan cloth diapers. Kami telah membeli 14 keping CD lunatots kerana diskaun yang diberikan sekitar 30% pada hari tu. Aku akan ceritakan lagi mengenai ini di catatan yang lain.
Aku juga sempat berjumpa kakakku dan keluarganya di Mid Valley. Dan mereka bermurah hati menghantar kami pulang ke hotel. Sekurang2nya kami tak perlu berjalan banyak lagi selepas ini.
Di hotel kami berbincang mengenai cloth diapers. Kami fikir 14 keping itu hanya cukup untuk seorang anak sahaja. Memandangkan kami bakal menyambut kembar, maka kami sependapat kami perlu membeli 10 keping lagi untuk kegunaan kedua-dua anak kami nanti.
Suami juga menggalakkan aku berkongsi pengalaman dan pengetahuanku di blog. Katanya ia boleh dibaca oleh orang lain yang inginkan panduan. Malah ia juga boleh dibaca anak2 pula suatu hari nanti. Aku fikir juga, ya Insya Allah aku cuba.
Kami merancang keluar seawal 9 pagi esok untuk membeli 10 keping lagi CD dan juga untuk mendapatkan free goodies (sebab free goodies memang cepat habis, pagi2 orang dah berebut nak barang percuma).
**HARI AHAD**
Oleh kerana kekangan diriku yang masih penat dan sakit badan, kami terpaksa tangguhkan perjalanan. Suami juga menyuruhku berehat lagi dan dia pun menonton TV sahaja.
Menjelang 11 pagi baru kami keluar. Kami dapat membeli CD dengan harga lebih murah hari ini. Dapat jimat lagi RM50. Oh kalaulah kami beli semua 24 keping CD hari ini (dan bukannya semalam), tentu kami dapat jimat hampir RM150 lagi.
Tak apalah rezeki setakat ini sahaja. Syukur sajalah. Lagipun semalam pun bukannya tak dapat diskaun langsung.
Setelah 2 jam, suami sudah mula nampak kepenatan. Dia memang jarang berjalan banyak kerana kerjanya hanya di dalam bilik berhawa dingin sahaja. Jadi apabila terlalu banyak bergerak dan berpeluh, mmg nampak sgt dia keletihan. Barang2 pun dia yang bawa, so kepenatan yang berganda.
Dalam perjalanan balik ke stesen komuter, dia sudah tidak banyak bercakap. Aku rasa gusar dan ikut diam juga. Setelah sampai di hotel, dia mahu terus memulakan perjalanan balik ke JB. Aku ikut sahaja rentaknya. Sikapnya memang begitu, apabila penat, dia memang hendak cepat sampai dan balik tidur di rumah.
Jadi berlakulah episod genting buat kali kedua. Dia mengadu sakit kaki dan mengantuk. Aku nasihatkan berehat dulu dan tidur di R&R. Tapi dia berkeras hendak cepat sampai ke JB dan hanya mahu berhenti di Pagoh sahaja. Kami tak banyak bercakap, aku khuatir jika tersilap cakap, akan memburukkan keadaan lagi. Tambahan pula emosi aku semasa mengandung ini mudah benar terasa.
Alhamdullillah akhirnya menjelang 10 malam kami selamat tiba di rumah kami. Seperti biasanya, setelah suami dapat duduk dan berehat depan TV, anginnya kembali baik. Dia memang cepat sejuk. Cuma aku rasa sedikit ralat dan kasihan melihatnya.
PENGAJARAN
- perlu ke KL sehari sebelum program yang hendak dihadiri agar badan cukup rehat dan cergas
- apabila badan cukup rehat, tentu mampu keluar awal pagi dan dapat mengelakkan kesesakan dan cuaca terik tengahari
- kenderaan awam tidak sesuai untuk kami buat masa ini. Jadi supaya perjalanan berkereta berjalan lebih lancar, kena keluar awal pagi
- mungkin lain kali boleh dirancangkan dengan meminta bantuan kakak atau abangku untuk guide kami ke tempat yang kami tidak biasa di KL. Lebih menjimatkan masa dan dapat merapatkan silaturrahim juga.
- tulis perancangan dengan jelas dan kemas. Stick to that plan, sebab ia telah pun dikaji dan dibincangkan baik buruknya sebelum ini.
- sentiasa membayar parking lebih dari jangkaan masa. Ia lebih baik daripada terpaksa menanggung saman!
- oh aku harap suami mendengar nasihatku supaya berhenti rehat ketika terlalu penat!
