Perkembangan terkini saya dan anak kembar:
- berat saya sudah mencecah 67kg, iaitu pertambahan 12kg dari berat sebelum mengandung (55kg)
- berat kembar sekitar 1kg seorang (ya, saya menanggung berat lebih 2kg di bahagian perut)
- the boy one is bigger than his twin sister
- menurut suami, kedudukan kembar sudah berubah sedikit (tapi masih melintang)
Semasa ultrasound dijalankan kembar menendang dengan galak sampai boleh nampak perut saya berombak-ombak. Saya terpaksa menahan senak apabila terasa mereka menendang ke arah rusuk.
Saya dinasihatkan untuk menjalani Cesarean 2 minggu sebelum EDD (10 April). Jadi kemungkinan besar tarikh pembedahan adalah 28 Mac. Tidak lama tu, hanya tinggal 12 minggu lagi,
Tapi oleh kerana saya dikhuatiri terpaksa bersalin lebih awal dari jangkaan, Dr Mohan (my gynae) mencadangkan supaya suntikan Dexamethasone diberikan untuk mematangkan paru-paru si kembar. Balik nanti kena suntik di punggung sebanyak 2 kali, iaitu selang 12 jam.
Setelah selesai urusan pembayaran bil, kami ke Tingkat 7, ke Pusat Ibu dan Anak untuk mendaftar Kelas Antenatal 14 Januari nanti. Saya lihat petugas-petugas di situ agak kelam kabut. Agaknya ada beberapa kelahiran atau pembedahan yang sedang dijalankan di situ. Suami kata di sini jugalah saya akan dibedah nanti.
Semasa dalam perjalanan balik suami mencadangkan supaya saya menutup kedai eBay buat sementara waktu setelah kandungan masuk 7 bulan nanti. Dia mahu saya berehat, makan dan minum di rumah sahaja. Tidak perlu lagi ke bank, mengambil bekalan barang dan ke pejabat pos untuk mengepos pesanan barang. Saya hanya boleh keluar jika dia ada bersama sahaja.
Memang sejak kebelakangan saya sudah tidak larat berjalan, cepat benar penatnya. Tambahan pula kalau ketika itu kembar sedang 'bermain', memang senak perut dan sakit rusuk saya dibuatnya.
Lagi satu saya juga telah beberapa kali diserang kekejangan otot semasa memandu. Nasib baik ketika itu lampu trafik sedang merah. Sangat bahaya ok!
Lain-lain hal ialah mengenai perancangan akikah untuk kembar. Suami cadangkan buat akikah melalui eQurban sahaja. Bagus juga, bolehlah menjamu orang-orang miskin di Kemboja.
Oklah dah panjang sangat pula. Kembar sedang aktif menendang. Saya nak baring sekejap.
Sekian.
No comments:
Post a Comment